Monday, March 23, 2015

Renungan : Bengkel Kemajukan Agama “Apa yang anda fahami tentang agama minoriti?






Usaha Projek Dialog mengetengahkan bengkel kemajukan agama bagi menampilkan agama minoriti adalah usaha yang wajar disokong dan dipuji. Tatkala negara masih suam dan panas dalam berhadapan dengan isu-isu agama, adalah wajar jika ada mekanisme bagi memperbaiki jurang salah faham masyarakat tentang agama diadakan.

Manusia sejak zaman berzaman telah mempunyai dasar intelek untuk mempercayai ada sesuatu yang mampu menjaga, mentadbir dan memelihara alam sekeliling dan kehidupan mereka. Bermula percaya adanya entiti ghaib yang dinamakan ‘Pencipta’ dan kemudian diikuti anutan terhadap agama yang merupakan satu sistem kompleks yang membentuk struktur kehidupan manusia.

Secara harfiah menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, agama dalam konteks pertama merupakan “kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintahNya iaitu kepercayaan pada yang Maha Kuasa.” Konteks keduanya pula, merupakan “kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain yang dipuja dan sebagainya yang dianggap sebagai sesuatu yang amat berkuasa.”

Agama Minoriti?
Statistik demografik seluruh dunia menurut Worldometers.info menunjukkan bahawa 84% daripada 7.2 bilion penduduk dunia mempunyai pegangan agama. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2010 pula menunjukkan agama Islam merupakan agama majoriti dengan perkadaran 61.3 peratus diikuti agama Buddha (19.8%), Kristian (9.2%), Hindu (6.3%), agama-agama tradisi (1.3%), tidak diketahui (1%), agama-agama lain (0.4%),  dan tidak beragama (0.7%).

Apakah dimaksudkan agama minoriti? Agama minoriti dengan mudah diklasifikan sebagai agama-agama lain selain daripada agama majoriti. Dalam konteks Malaysia, Islam merupakan agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam  Perkara 3 (1) tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Beza ‘agama minoriti’ dan ‘minoriti agama’ perlu jelas. Agama minoriti merujuk kepada agama sebagai entiti dan subjek yang diselengara dan dianuti oleh kelompok minoriti masyarakat manakala minoriti agama merujuk kepada individu dan kelompok mengikut tempat, lokasi dan situasi.

Dilema dan konflik penganut agama di Malaysia
Setiap agama tidak lepas daripada konfliknya tersendiri. Konflik boleh sahaja berlaku antara penganut agama dengan penguasa agama, penganut agama tertentu dengan penganut agama lain. Konflik tersebut mungkin sahaja berpunca daripada perbezaan pendapat dalam perkara teologi dan perlaksanaan sesuatu hukum agama.

Konflik lain mungkin juga berpunca daripada para politikus yang sewenang-wenangnya ingin meneruskan dasar pecah dan perintah dengan mengapi-apikan isu yang dianggap sensitif bagi mendapat perhatian golongan fanatik agama yang kurang faham tentang sesuatu isu.

Stigma, prejudis, diskriminasi adalah ancaman serta cabaran normal yang dihadapi kepada penganut agama minoriti diseluruh dunia. Realiti lebih menyakitkan apabila agama minoriti seringkali dijadikan alat untuk menindas bagi juak berkepentingan bagi penganut agama majoriti.

Dalam Bengkel Kemajmukan Agama anjuran Projek Dialog pada 7 Mac 2015 lalu, saya mempelajari bahawa kelompok agama minoriti juga merujuk kepada kelompok penganut agama majoriti yang sama tapi berlainan mazhab. Lebih parah mazhab ini tidak diterima kerana agama majoriti tersebut telah dilabelkan mengikut mazhab yang direstui pihak pemerintah dan penguasa agama.

Saya ingin merujuk kepada pengikut Ahmadiyyah dan Syiah yang mendakwa mereka adalah Islam tetapi tidak diterima oleh kerajaan dan di fatwakan sesat oleh JAKIM. Berdasarkan pengkongsian daripada para panel, saya terkejut apabila mereka mengatakan ada intimidasi dari segi hak bersembahyang di masjid oleh pihak penguasa dan sekatan terhadap penyebaran ajaran mereka.

Salah faham penganut arus perdana Muslim Malaysia terhadap Ahmadiyyah lebih berkisar kepada pengasas gerakan Ahmadiyyah iaitu Hazrat Mirza Ghulam Ahmad. Salah faham yang utama adalah Mirza Ghulam Ahmad dianggap nabi disangkal oleh panelis dan menyatakan bahwa beliau hanyalah Imam Mahdi dan Nabi Isa AS yang diutus kembali. Sekaligus menegaskan mereka adalah Islam yang percaya pada rukun Iman 6 Perkara dan rukun Islam 5 Perkara.

Bagi penganut agama Hindu, panelis berkongsi bahawa penganut Hindu di Malaysia mempunyai 6 mazhab utama. Diterangkan juga bahawa Hindu bukanlah agama pada dasarnya tetapi lebih kepada ajaran kehidupan. Tambahan pula, Hindu bukanlah agama dakwah seperti agama lain dan ianya tersebar akibat migrasi serta asimilasi ajaran terhadap kaum dan bangsa mengikut geografik di Asia.

Antara cabaran yang dihadapi penganut Hindu di Malaysia adalah intimidasi salah faham penganut lain telah memberi konotasi negatif yang mengatakan Hindu merupakan pengamal poletheisme yang disangkal oleh panel bahawa penganut Hindu juga percaya pada satu Tuhan yang dimanefestasikan dalam jutaan jelmaan mengikut pengalaman manusia.

Berlainan pula dengan agama Kristian, meskipun minoriti dengan penduduk 9.2% Malaysia; terdapat juga pelbagai konflik dalaman dan luaran yang berlaku terhadap penganut agama Kristian. Konflik dalaman lebih kepada perebutan pengikut antara denominasi dan fahaman. Perebutan yang dimaksudkan ini dimana terdapat dakwaan bahawa penganut Kristian ajaran Katolik selalu menjadi target sasaran dakwah umat Kristian Protestan yang kelihatan agresif mencari penganut baru.

Penganut Kristian Katolik membentuk kelompok majoriti kira-kira 1 juta daripada 9.2% umat Kristian di Malaysia. Menurut panelis bagi pihak Kristian yang merupakan seorang Katolik, perebutan ini berlaku kerana umat Kristian bukan Katolik amat serius mendakwa bahawa umat Katolik adalah bukan Kristian dan mereka perlu didakwahkan supaya beroleh keselamatan. Disamping itu, faktor umat Katolik sendiri yang tidak mendalami ajaran Katolik dengan baik juga penyumbang kepada perpindahan ke gereja aliran lain.

Konflik luaran umat Kristian amat dipengaruhi oleh faktor teologi dan politik. Rata-rata umat majoriti Islam seringkali merasa diri mereka diancam oleh gerekan Kristianisasi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa agama Kristian merupakan agama dakwah atau misionaris. Namun, intimidasi terhadap umat Kristian dengan penerbitan buku-buku dan forum anti-Kristian merupakan cabaran yang perlu dihadapi.

Umat Kristian sendiri dalam diam juga mempunyai prejudis terhadap umat Islam. Tidak hairan elemen Islamophobia ada juga diterapkan oleh segelintir gerakan Kristian kerana ingin menuntut bela bagi mempertahankan agama mereka sendiri. Cuma beza dengan Islam, ianya dilakukan secara tertutup dan tersembunyi manakala elemen Kristianofia bagi kalangan penganut Islam dilakukan secara terang-terangan seperti forum di UiTM pada Mei 2014.

Ikhtiraf kebebasan dan kepelbagaian agama dan fahaman
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia menuntut toleransi yang tinggi oleh semua orang. Perbezaan serta konflik merupakan sesuatu yang perlu dihadapi dengan tenang dan positif berbanding provokasi dan prejudis. Dialog , forum dan aktiviti kemasyarakatan antara pelbagai agama, serta rumah terbuka wajar dipergiat dengan sungguh.

Jikalau berbicara mengenai persoalan iman manusia yang beragama, saya berpendapat iman adalah rahmat, memerlukan akal budi dan sewajarnya bebas untuk memilih. Iman adalah rahmat jika yang percaya betul-betul ikhlas mencari kebenaran masing-masing tanpa ada rasa ‘membodek Tuhan’.
Iman memerlukan akal budi kerana setiap manusia wajar mendalami dan mempersoalkan apa yang mereka percaya dan sentiasa melakukan kebaikan dalam konteks kemanusiaan sebenar. Ianya bebas untuk memilih kerana fitrah manusia sewajarnya tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akal budi mereka.

Saya amat menghormati konteks sebenar kebebasan beragama. Bagi saya kebebasan beragama sewajarnya diangkat sebagai martabat hak asasi manusia bagi semua orang. Saya percaya jikalau kebebasan beragama tidak dizahirkan dengan betul, amat sukar bagi kita melihat kehormonian dalam kepelbagai masyarakat.

Adalah lebih wajar jikalau setiap penganut agama memfokuskan “faith in action” iaitu iman dalam perbuatan bagi menyelesaikan pelbagai kemelut masalah masyarakat berbanding mencari perbezaan teologi serta intimidasi antara satu-sama lain.

Akhir kalam, untuk memupuk keharmonian dalam pelbagai agama adalah harus kerana hidup bermasyarakat menuntut kita untuk berkongsi rasa kemanusiaan yang sama. Usaha masyarakat, NGO, kerajaan dalam mengetangahkan dialog seumpama Bengkel Kemajukan Agama wajar diteruskan dan perkenalkan dipelbagai tempat di Malaysia.



[Pojok asal ini ditulis dan disiarkan di Projek Dialog pada 12 Mac 2015 dengan sedikit perubahan maklumat mengenai Ahmaddiyah. © Calvin Ohsey 2015.]