Tuesday, January 5, 2016

Ulasan Novel Laknat

LAKNATLAKNAT by Fahmi Mustaffa
My rating: 5 of 5 stars

Novel ini saya beli daripada penulisnya sendiri pada bulan September 2015 lalu. Saya menunggu sehingga tahun 2016, barulah saya memula membacanya. 2 Januari lalu, hanya 7 jam saja masa diperuntukan untuk melakukan pembacaan teliti novel tersebut. Sebelum menulis analisa lebih, ingin saya ingatkan kepada pembaca yang belum membaca novel ini, terdapat “spoiler” dalam ulasan ini.

Bermula dengan definisi laknat dan ayat suci Al-Quran, novel ini berlatarbelakangkan di dalam negara. Memperkenalkan sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu, seorang anak sulung lelakinya dan adik lelakinya. Keluarga tersebut dilihat tidaklah senang sebaliknya melihat memaparkan kejayaan seorang ibu (Munirah) membesarkan kedua-dua anaknya sehingga berjaya ke menara gading. Ikhwan merupakan seorang ustaz lulusan dari Mesir dan Amar baru saja memulakan langkah untuk melanjutakn pengajian dalam bidang sains falsafah.

Detik gelap dalam novel berpusat kepada watak Ikhwan yang secara tersembunyi telah melakukan hubungan sumbang mahram serta liwat paksa terhadap adiknya selama 10 tahun sejak darjah 6. Amar yang merupakan mangsa adalah seorang susuk peribadi yang memberontak kerana diperakukan sedemikian rupa. Pemberontakan Amar terhadap Tuhan merupakan kemuncak terhadap doanya tidak terjawab serta sikap kemunafikan abangnya yang tekun mendalami agama namun tidak berupaya mengawal nafsu seksualitinya iaitu homoseksual adalah sebab yang menjadikan Amar seorang agnostik.

Dalam Amar melayari kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Commanwealth University of Philosphical Science and Technology (CUPST) sebuah universiti terkemuka pasca era kolonial British bagi integrasi komuniti sains yang dibiayai biasiswa, Amar bertemu dengan sosok yang bernama Hakim menambahkan lagi stereotaip Amar terhadap golongan agamawan. Hakim, seorang sosok lelaki yang sejak kecil belajar tahfiz ingin melakukan kelainan dengan mendalami ilmu sains yang dilihat dosa oleh rakan-rakan tahfiznya.

Hakim yang merupakan rakan sebilik asrama Amar melalui saat sukarnya memahami perilaku Amar yang dingin mula menjadi kawan baik kepada Amar kerana bagi Amar dia bukan agamawan “halal-haram” dan “syurga-neraka”. Keakraban Amar dan Hakim juga mengundang sisi gelap seksualiti mereka yang penuh drama serta saling melengkapi.

Novel ini turut memperkenalkan golongan pendidik seperti Professor Dr John Wiliam Hawking dan Dr Alev Gustamoz de Souza. Prof John memang terkenal dengan sifat ateisnya juga mempunyai keinginan untuk menyalahgunakan kepakaran sainsnya untuk mencipta klonnya bagi tujuan untuk hidup selamanya. Dr Alev merupakan sosok biseksual yang mempunyai isteri bernama Lisa yang dilihat tidak mampu membahagiakannya serta pernah menaruh harapan kepada Prof Hawking dan menjalinkan hubungan seks dengan bekas pelajar Hawking iaitu Joseph.

Plot dirumitkan lagi dengan watak Anita, Molly Angela, Maharani Estrada, Zabedoh, Pok Itang, Dr Yolanda dan pelbagai lagi watak lain seperti dalam penjara seperti Ustaz Latif, Wong Diva, Johan Kongkek dan Razak juga mencuit hati melalui kisah silam mereka serta drama mereka di sel penjara.
Rata-rata kebolehan penulis memasukan elemen imbas kembali serta pemisahan latar dari satu dimensi cerita ke satu cerita yang lain membuatkan plot novel ini semakin sukar dijangka meskipun berkait. Lebih rumit, ada diantara watak ini mempunyai kaitan dengan sejarah peribadi beberapa watak utama.

Kebolehan saudara Fahmi memisahkan 2 watak daripada satu sosok peribadi bukanlah sesuatu perkara mudah. Saya sendiri tidak memahami apa yang terjadi pada mula sehinggalah saya selesai membaca keseluruhan novel ini.

Meskipun demikian, watak Maharani Estrada dan 77 syaitan masih lagi misteri kerana ianya melibatkan elemen ghaib serta ritual pelik yang mengandungi pemujaan syaitan. Maharani Estrada dan 77 syaitan juga seringkali mengiringi beberapa latar cerita watak-watak tertentu sepanjang novel ini.

Merungkai persoalan mesej yang ingin disampaikan penulis, saya menyifatkan Fahmi seorang yang sangat terkesan dengan keadaan masyarakat sekeliling. Elemen sindiran, penyampaian fakta sains serta falsafah dan agama membuatkan novel ini sarat dengan mesej-mesej padu yang sewajarnya dijadikan renungan serta ikhtibar buat pembaca.

Dalam mendalami golongan LGBT, saudara Fahmi dilihat mengambarkan cabaran serta liku gelap yang dihadapi golongan ini yang hidup terseksa sebagai golongan yang berbeza dengan majoriti arus perdana. Sikap penafian, kemunafikan serta dilema individu itu terserlah melalui watak Ikhwan. Agama dijadikan alat untuk menyembunyikan pergelutan seksualitinya. Dan tidak dapat dinafikan dalam dunia masa kini, ramai golongan LGBT di Malaysia hidup dalam closet kerana khuatir tidak diterima masyarakat.

Saudara Fahmi juga merungkai sisi gelap kehidupan masyarakat yang kesempitan hidup memiih profession pelacuran bagi memuaskan aparat-aparat kelas atasan seperti ahli perniagaan dan golongan pendidik. Nikmat seks secara bebas merupakan salah satu dosa peribadi struktur yang menjadi dosa struktur juga disampaikan dalam kisah Molly Angela.

Dan banyak lagi mesej-mesej padu disampaikan seperti mengutuk Islamophobia, masyarakat yang bersifat judgemental atau suka menghakimi tanpa memahami, sindiran terhadap golongan agamawan dan mengutuk ketaksuban mendalami ilmu serta jihad yang salah. Mesej murni berbentuk pro-life juga patut dipuji melalui Molly yang ingin membesarkan anak luar nikahnya berbanding pilihan seperti menggugurkan kandungan kerana takutkan aib.

Mesej kekeluargaan sangat terkesan dilihat pada diri Munirah yang mencurah kasih sayang terhadap anak-anaknya yang berdepan hukuman mati. Saya sangat terkesan dengan babak tersebut. Namun, itu tidak berguna lagi apabila kebenaran tertegak dan mereka bertiga dilihat seolah-olah telah dilaknat Tuhan.

Budaya mati yang dipaparkan oleh saudara Fahmi dalam novelnya menyebabkan saya memberi penuh 5 bintang ditambah kebolehan beliau mengungkap penyakit psikologi serta elemen sci-fi dalam karyanya secara rinci. Terus-terang, novel ini memang layak dikelaskan dengan label “untuk pembaca matang” kerana elemen kanibalisme yang sudah tentu meloyakan pembaca yang mampu berimaginatif akan jalan ceritanya.

Kesimpulannya, penulis seperti Fahmi mempunyai kelasnya tersendiri. Saya yakin karya beliau merupakan karya pertama yang mengabungkan pelbagai cerita perihal golongan LGBT, kebobrokan ahli akademik serta agamawan, golongan mahasiswa, banduan, pelacur dan masyarakat sekeliling dibawah satu judul iaitu “Laknat”.

Laknat dalam erti kata penulis ialah golongan yang hidup terkutuk, keji, hina dan celaka jauh dari petunjuk Tuhan. Penulis dengan tidak berapologetik mempersoalkan kewujudan Tuhan, kesengsaraan hidup manusia, mempamerkan alam ghaib, pemandulan siswa di universiti, mengungkapkan jenayah kejam serta mempersoalkan hukuman mati.


View all my reviews