Tuesday, April 26, 2016

Mengapa JAKIM dan UMS memperakui pendakwah yang boleh dipertikaikan?

Poster asal oleh penganjur sebelum diubah dan ceramah dibatalkan

Pendakwah Islam yang konservatif secara sosial dan fundamental amat popular di Malaysia.  Mereka sangat disukai sehingga pulau-pulau boleh diberikan kepada mereka sebagai habuan. Pendakwah yang saya maksudkan adalah seorang anak tempatan yang menjadi kegemaran umat Muslim di Malaysia berduyun-duyun datang kepadanya adalah seseorang mualaf.

Orang yang menggelar dirinya sebagai Ustaz Ayub Abdul Rahman ini akan memberi ceramah percuma di negeri kelahiran saya, Sabah, dengan tajuk “Perjalanan Hijrah dan Dakwah: Catatan Kehidupan”.

Beliau mendakwa dirinya adalah mantan paderi besar di Gereja St Augustine of Canterbury di Frankfurter, Jerman yang sebelum ini dikenali dengan nama Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam.

Daripada ayat itu sahaja, kita sudah tahu ada sesuatu yang tak kena. Wahai rakyat Malaysia yang tidak memakan khinzir, frankfurter adalah sejenis sosej. Tidak ada tempat bernama Frankfurter di Jerman.

Gereja itu, bagaimana pun, adalah betul dan mempunyai alamat: Frankfurter Strasse 3, Wiesbaden, Jerman. Strasse di Jerman merujuk kepada jalan. Jadi gereja itu terletak di Jalan Frankfurter dan bukan di atas sosej yang tidak wujud.

Ada di antara kita yang mungkin berpendapat ia mungkin satu kesilapan yang tidak disengajakan, yang mungkin ada orang Malaysia yang tersalah baca alamatnya.  Jika begitu, mengapa Ustaz Ayub tidak membetulkan poster itu? Bukankah dia warganegara Malaysia, yang boleh berbahasa Melayu serta lahir dan dibesarkan di Pulau Pinang?

Lebih aneh lagi: Ayub mengaku dirinya pernah menjadi seorang Katolik.

St Augustine of Canterbury adalah gelaran yang diberi kepadanya kerana beliau merupakan Uskup Agung Canterbury yang pertama dan pengasas kepada apa yang dikenali sebagai Gereja Inggeris atau Gereja Anglikan.

Sepertinya kita harus percaya bahawa seorang Katolik berbangsa India dari Pulau Pinang, entah bagaimana akhirnya mengetuai sebuah gereja Anglikan. Dia juga mendakwa telah dilatih di "Benedictine Abbey" di Switzerland.

Tidak ada biara yang bernama "Benedictine Abbey." Ordo Benediktin adalah sebuah Ordo Katolik. Walaupun ordo itu memang mempunyai beberapa biara di Switzerland, tidak satu pun yang diberi nama sempena ordo itu.

Untuk mengatakan bahawa adalah mungkin untuk seorang paderi Katolik menjadi ketua gereja Anglikan dalam tahun 70-an adalah seperti membayangkan ianya mungkin untuk Ayatollah untuk menjadi penasihat rohani kepada umat Sunni di Arab Saudi.

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan di Utusan Malaysia, dia mengaku bahawa dia hidup mewah sebagai seorang paderi - penerbangan kelas pertama dan dipandu di dalam kereta mewah.

Yang akan menjadi berita kepada teman-teman paderi Katolik saya di luar sana ialah, jika Ustaz Ayub adalah seperti yang dinyatakan dan dilatih di sebuah biara Benedictine, dia akan tahu bahawa tiga sumpah untuk ordo Katolik adalah kemiskinan, kesucian dan ketaatan. Kecuali anda adalah Paus atau dengan Vatikan, lebih baik anda percaya bahawa paderi Katolik akan hanya terbang dengan kelas ekonomi.

Ustaz Ayub ini bahkan dianugerahi Tokoh Maal Hijrah di Sarawak atas sumbangannya sebagai seorang mualaf yang baik dan usaha-usaha dakwahnya di negeri itu.

Apa yang membimbangkan bagi saya adalah bahawa dengan hanya beberapa pencarian Google, saya dengan mudah membongkar kisah hidupnya. Tetapi nampaknya tidak satu pun badan-badan penaja ceramah Ustaz Ayub ini peduli.

Jakim atau universiti di Sabah langsung tidak kisah untuk menyelidik kelayakan pendakwah ini.

Rupa-rupanya pertanyaan telah dibuat ke atas gereja di mana Ustaz Ayub mengaku telah melayani di sana dan gereja itu sendiri menegaskan bahawa dia tidak pernah menjadi paderi di sana.

Jika ada seseorang pembohong yang mengaku telah murtad dari Islam dan mengadakan beberapa siri ceramah di merata tempat untuk berkongsi tentang perjalanan hidupnya, sudah pasti akan ada tunjuk perasaan dan mungkin ada beberapa Molotov cocktail dibaling ke arahnya.

Tapi di sini kita mempunyai badan-badan kerajaan yang secara terbuka membenarkan seseorang yang jelas mengelirukan orang ramai tentang latar belakangnya dan menyebarkan propaganda anti-Kristian.

Yang menyedihkan ialah saya sangat yakin bahawa Ustaz Ayub tahu perbezaan antara Protestan dan Katolik, tetapi dia dengan senang membuat cerita untuk memberi hiburan kepada penonton yang cukup jahil untuk mempercayai bahawa lelaki ini telah diberi hidayah iman dari Allah.

Orang-orang seperti Ustaz Ayub ini memanfaatkan ketakutan di kalangan umat Islam setempat, dan mengambil kesempatan daripada kejahilan mereka di kala kita menghadapi masalah hanya ada segelintir orang Islam yang mengerti tentang orang Kristian dan agama Kristian secara umum.

Kristian tidak perlu menjadi musuh kepada orang Islam setempat apabila sangat jelas sekali – bahawa musuh itu adalah dari kalangan mereka sendiri dan diberi upah yang banyak untuk berceramah.

* Artikel asal yang bertajuk “Why are Jakim and UMS endorsing questionable preachers?” ini ditulis oleh Erna Mahyuni, dan diterbitkan di “Malay Mail Online” pada 20 April 2016. Diterjemah oleh Calvin Ohsey.

Sila nilai sendiri siri video pembohongan beliau. Selama bertahun-tahun cari makan duit haram dengan menipu dan memburuk-burukkan agama Kristian.